Asas kepada adat menjunjung duli
1
Sesudah diperkenalpasti gerangan asal-usul orang yang hendak dianugerahi gelaran tradisi warisan Bukit Saguntang ini, seterusnya Raja Yang Di Pertuan akan dinasihati oleh Orang Kaya Temenggong, selaku penyelia adat-istiadat, tarikh-tarikh yg paling mustajab, setelah dia nerima ramalan telek perkiraan falak dari Pawang Di-Raja. Sudah tentu ada beberapa kaum waris dari susurgalur yg sama, yang sama juga berhak menyandang gelaran yang sama. Oleh itu keputusan untuk melantik terpulang kepada kearifan Sultan bersama Orang Kaya Bendahara memutuskata perihal kelayakan itu.

Surat
rasmi dari Istana Sultan Perak kepada Raja Kechil Tengah Kamaralzaman
Raja Mansur memberitahu tarikh perlantikan sebagai Raja Di-Hilir, 1948.
(Sumber: Arkib Negara Malaysia)
Menurut resam adat silam, tatkala menerima khabar dari Istana, si penama itu akan menghebahkan berita Di-Raja kepada sekalian sanak-saudara seisi kelompoknya. Di kala itu, justeru acara “berkampong” akan dilangsungkan di tempat pewaris yg tertua antara mereka. Dalam perhimpunan itu, suatu tahkik persumpahan kukuh-mengukuh janji persefahaman akan tertegak, demi menjauhi engkar dan cemburu antara mereka. Penggelaran yang akan dijunjung dek si bakal pembesar negeri itu, adalah berupa suatu penghormatan juga bagi mereka berbangga seisi kelompok bahawa jasa bakti puak mereka selama itu masih karar dihargai Istana. Semangat kebersamaan inilah yang menjadi nadi tunggak ketaatan setia-bakti terhadap Istana dan Negeri. Oleh itu, anugerah Jawatan dan penggelaran dikongsi seisi puak kelompok, dan tidak dianggap selaku kepunyaan individu. Dengan selesainya berikhar janji di antara sesanak-saudara itu, mereka semua bersiap sedia lah menunggu hari paling bangga bagi seluruh kelompok mereka itu.

Sebuah
perkampungan Melayu di tebing Sungai Perak. Illustrasi dari buku Major
JFA McNair bertajuk 'Perak and the Malays' yang diterbit pada tahun
1878.
Menurut yg tercitera, berlangsunglah adat-istiadat menjunjung duli. Jika orang berdarjat besar, diperintahkan orang-orang besar menjemputnya. Jika pangkatnya tidak sebegitu tinggi, orang-orang berpangkat rendahlah yang dikerah pergi menjemput. Dan jika yang nak bergelar itu sudahpun terlebih dahulu bergelar dan sekarang berkenaikan pangkat, seandai darjatnya kini patut dia ampunya pengusungan, maka yang patut bergajah, pihak istana akan meminjamkan gajah-gajah Di-Raja, lantas dia datang menaiki gajahlah, ditemani sanak-saudara berjalan kaki. Yang patut berjalan kaki, maka berjalan kakilah dia dipayungi sanak-saudaranya. Yang mana bertaraf layak digendang, maka dia datang bergendang-gendanglah. Dalam pada itu, ada pula martabat-martabat tertentu dikenalpasti mematuhi warna pakaian atau warna payung. Ada yang berhak berwarna hijau, biru, hitam atau merah, dan yang pastinya berwarna ungu itu besar nilai tarafnya. Sebaik-baik warna jika layak baginya ialah berpayung kuning atau putih. Kedatangan sang bakal-bakal yg besar-besar akan diperkenan Raja disambutnya di pintu kota istana dengan pemaluan separuh ragam alat-alat Nobat.
Menyambungi tatacara adat keistanaan Melaka, maka di Istana Perak juga tiada membenarkan sanak-saudara sang bakal bergelar itu masuk menunggu di bawah bumbung (yakni di dalam) istana selagi sang bakal itu belum di jemput masuk. Sesudah sampai ketika saatnya, para bakal akan dipanggil beratur di kaki tangga utama istana oleh seorang pembesar istana. Tidak dikira pangkat atau darjat sang bakal itu, walaupun dia seorang anak raja, kesemuanya setaraf belaka. Peraturannya mengikut yang terulung di antara mereka akan di hadapan dan yang rendah darjatnya di kebelakang. Kesemuanya dikehendaki berdiri beratur rapat-rapat berpeluk tubuh bagaikan bersambungan. Ini dinamakan bertafakur sambil berpeluk tubuh.

YAM
Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz sedang bertafakur sambil
berpeluk tubuh. Di kanannya adalah Toh Seri Nara Di-Raja. Gambar ini
diambil sewaktu istiadat menjunjung duli sempena menerima gelaran YAM
Raja Kechil Besar sewaktu Hari Keputeraan Sultan Yussuf Izzudin Shah di
Ipoh pada tahun 1953. (Gambar hakcipta British Pathé)

YAM
Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz sedang duduk bertenggul
sewaktu menjunjung duli, 1953. (Gambar hakcipta British Pathé)
Toh Seri Nara Di-Raja kini mara berdekatan sang bakal, lalu berdiri di sebelah bahu kanan sang bakal. Maka sesudah itu, adat-istiadat menjunjung duli mulai berlangsung khusus di bawah arahan dan kelolaan Toh Seri Nara Di-Raja.
Setiap sudut istiadat menjunjung duli ini akan dihuraikan satu-persatu di dalam sebuah lagi paparan YM Raja Kobat Salehuddin di masa terdekat.