Thursday 18 October 2012

asal usul majlis rajaraja

Asal-usul Majlis Raja-Raja

Sebelum Pembentukan Durbar
Raja-Raja dahulu merupakan Raja-Raja mutlak, yang mempunyai kuasa perundangan eksekutif dan kehakiman. Raja-Raja ini memerintah negeri masing-masing berdasarkan dasar mereka sendiri, dibantu oleh pelbagai kategori pegawai pada nama sahaja. Pada zaman kesultanan Melaka, para pegawai ini diketuai oleh Bendahara (pada zaman ini Bendahara setaraf dengan Perdana Menteri).
Penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahun 1511, dan Belanda pada tahun 1641, tidak mengubah struktur tradisi Kesultanan Melayu. Pada awal tahun 1874 pula, pihak British mencampuri pentadbiran Kesultanan Melayu. Sultan-Sultan kekal menjadi Raja berdaulat tetapi mereka terikat dengan perjanjian untuk menerima nasihat daripada Residen British, Penasihat atau Penasihat Jeneral.
Sebelum pihak British melengkapkan penguasaan politik mereka terhadap kesultanan Melayu, (Terengganu ialah negeri terakhir menerima penasihat British pada tahun 1919), mereka terlebih dahulu menggabungkan kuasa pentadbiran mereka, dengan membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) pada tahun 1896 dan kemudiannya menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909, yang ahlinya terdiri daripada empat orang Raja-Raja Melayu, yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British.
Sungguhpun pihak British cuba mengekalkan kedaulatan Kesultanan Melayu, tetapi apa yang tinggal bagi Raja-Raja Melayu, hanyalah tugas yang berkaitan dengan upacara adat istiadat dan hal-hal keagamaan.
Meskipun Majlis Raja-Raja yang ada sekarang merupakan struktur formal perlembagaan, nama majlis ini tidak dapat dipisahkan daripada Kesultanan Melayu yang merupakan tonggak sistem atau institusi beraja di Malaysia. Sebab itu sejarah awal Majlis Raja-Raja elok dimulai dengan menelusuri secara sepintas lalu kemunculan Kesultanan Melayu yang ada sekarang. Ini penting bagi menunjukkan pertalian awal di kalangan keluarga diraja yang ada di Malaysia sekarang, sesuatu yang tidak kurang pentingnya dalam menyediakan persekitaran yang akhirnya melahirkan majlis ini.
Kemunculan dan kedudukan Kesultanan Melayu tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan Kesultanan Melayu Melaka. Meskipun kesultanan ini bukan kesultanan yang tertua, Kesultanan Kedah diasaskan sekitar kurun ke-13. Kesultanan Melayu Melaka mempunyai signifikan yang besar dalam membina tradisi dan adat istiadat istana yang kemudiannya diwarisi oleh kesultanan-kesultanan yang muncul kemudiannya. Selain itu, Kesultanan Melayu Melaka juga mempunyai peranan dalam membantu mengasaskan dan memperkukuhkan kebanyakan kesultanan yang ada sekarang.
Daripada sembilan kesultanan yang ada, hanya Kesultanan Melayu Perak yang mempunyai pertalian langsung dengan Kesultanan Melayu Melaka kerana Kesultanan diasaskan oleh kesultanan tersebut sebelum Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.
Kesultanan Kedah yang pernah dilindungi oleh Melaka memiliki beberapa peralatan diraja termasuk nobat yang dianugerahkan kepada kesultanan ini oleh kerajaan Melaka. Kesultanan Selangor, meskipun diasaskan oleh orang Bugis pada kurun-18, kesultanan ini diberi kesahan oleh Kesultanan Perak yang mempunyai pertalian langsung dengan raja-raja Melaka. Kesultanan-kesultanan lain seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu muncul selepas keturunan Kesultanan Melayu Melaka pupus. Kesultanan-kesultanan ini jelas mengisi dan meneruskan warisan yang dikosongkan oleh Kesultanan Melayu Melaka selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis. Begitu juga dengan Negeri Sembilan, meskipun raja-rajanya berasal dari Sumatera. Apabila pihak British campur tangan di negeri-negeri Melayu, bermula dengan Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 dan berakhir dengan perjanjian British dengan Johor pada tahun 1914.
Kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja yang berdaulat tidak berubah. Inilah kedudukan raja-raja di sisi undang-undang, walaupun kenyataannya mungkin tidak sedemikian bebas dan berdaulat. Prinsip ini telah diisytiharkan oleh beberapa keputusan mahkamah yang berbeza kedudukannya dengan kedudukan raja-raja Melayu dalam Malayan Union. Walaupun demikian, raja-raja terpaksa tunduk kepada kehendak dan tekanan pihak British. Meskipun tekanan itu boleh dipersoalkan di sisi undang-undang, pihak British mempunyai kekuatan untuk memaksa raja-raja Melayu mendengar perintah mereka.
Campur tangan pihak British di negeri-negeri Melayu, sebuah perkumpulan yang menyamai sebuah persekutuan dibentuk pada tahun 1895. Perkumpulan yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Empat orang Raja Melayu duduk dalam Majlis Persekutuan yang fungsinya untuk menggariskan polisi yang dilaksanakan melalui perundangan di peringkat negeri melalui majlis-majlis negeri. Walaupun kuasa perundangan raja-raja Melayu kekal, namun hanyalah dari segi perlembagaan. Hakikatnya pihak British yang membentuk dan mengawal polisi pentadbiran dan pelaksanaannya di negeri-negeri Melayu Bersekutu. Raja-raja tahu apa yang mereka terima bukanlah sesuatu yang mereka maksudkan ketika menandatangani perjanjian dengan pihak British. Ini dibuktikan dengan penentangan awal selepas Perjanjian Pangkor yang berakhir dengan pembuangan negeri Sultan Abdullah.

1 comment:

  1. bro, tukau background color purple tuu dan font kasi kaler itam gelap, utntuk memudahkan bacaaan, skng ni berpino mata nak baca, terpaksa tekan ctrl+A baru buleh baca

    ReplyDelete