Sunday, 7 October 2012

karya

CERITA Raja Muda tuturan Pawang Ana yang dirakam pada sekitar 1907 di Temoh, Perak, dirujuk sebagai Cerita Lipur Lara mirip Jack and the Bean Stalk dalam cerita rakyat Inggeris.

Diceritakan, Raja Bujang Selamat terpaksa memanjat pokok tinggi mengawan, bagi memenuhi keinginan isterinya, Tuan Puteri Lindungan Bulan yang mengidam buah nyiur gading. Dengan parang puting yang dipinjam daripada sepupunya, Raja Muda, sampailah Bujang Selamat ke tandan nyiur tetapi dikawal seekor ular dan dia membunuh ular yang melingkar di tandan itu.Selepas membunuh ular itu, Bujang Selamat masuk ke dalam mulut ular, merayap-rayap, merangkak-rangkak, tujuh hari tujuh malam dan akhirnya sampailah ke suatu padang, tempat terletaknya mahligai kepunyaan Tuan Puteri Telipuk Layu. Puteri itu bersedia memberi nyiur gading kepada Bujang Selamat dengan syarat anak yang akan dilahirkan, jika lelaki hendaklah dijadikan suaminya, jika perempuan, dijadikan adinda.Wira cerita ini sebenarnya ialah Raja Muda, yang mengembara kerana bermimpi seorang wali Allah, menyuruhnya mencari puteri kayangan, calon isterinya dan berjalanlah dia mencari Tuan Puteri Bongsu atau Tuan Puteri Bidadari Segerba.Dengan pertolongan nenek kebayan, dapat dia mengahwini tuan puteri itu dan percubaan hendak menerbangkan Raja Muda ke kayangan tidak berjaya, maka diciptakan ‘balai jentera berpusing’ untuk menerbangkan Raja Muda dengan tuan-tuan puteri kayangan.Tetapi sebelum berangkat, Raja Muda mendapat mimpi, konon alamatnya ‘hendak beristeri yang lebih bangsa dan elok rupanya’ dan Raja Muda merayu Segerba menangguhkan kepulangan ke kayangan kerana takut-takut bencana menimpa mereka.Bagaimanapun dia berdegil hendak pulang berjumpa ayah bondanya yang dirinduinya dan kepulangannya hanya dalam tujuh hari tetapi muncul pula ‘gajah kesaktian’ merangkul Raja Muda, lalu membawanya pergi. Pengambilan Raja Muda oleh gajah kesaktian tidak disedari nenek kebayan dan apabila Segerba turun semula ke bumi untuk bersatu kembali dengan Raja Muda, melalui kesaktiannya, dia tahu di mana Raja Muda berada: dia telah dirajai di negeri Tanjung Bunga Kembang Sekaki dan dikahwinkan pula dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari. Selepas bertemu, Segerba bersahabat dengan Ratna Sari dan memindahkan anak dalam kandungannya ke dalam rahim Ratna Sari, lalu akhirnya melahirkan anak perempuan, dinamai Puteri Renik Jintan, dibidankan Segerba sendiri.Berlaku peperangan yang dicetuskan Maharaja Imbangan Jajar, raja negeri Cempaka Sari, yang berhasrat mengahwini Renik Jintan sebaik terpesona mendengar kecantikan puteri itu, tetapi pinangannya ditolak oleh Raja Muda kerana sudah ditunangkan dengan Raja Seri Mandul, anak Raja Bujang Selamat, sepupunya. Maka oleh ‘terlalu amat murka’ dan ‘teramat malunya’, Imbangan Jajar melanggar negeri Tanjung Bunga Kembang Sekaki dan Maharaja Imbangan Jajar akhirnya kalah, lalu mati. Maka Raja Seri Mandul dinikahkan dengan Puteri Renik Jintan dan Puteri Telipuk Layu selain pesta besar-besaran diadakan manakala Raja Seri Mandul dijadikan Seri Maharaja Besar Suri, Yang Dipertuan negeri Benua Tua.

No comments:

Post a Comment