Monday, 15 October 2012

Konflik takhta dan Perlembagaan - Persepsi yang boleh menjejaskan imej sistem beraja

Kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail Jumaat lalu tidak menimbulkan masalah pengganti. Sebagai sebuah sistem yang mempunyai cara yang unik dan tersendiri ganti atau raja baru tidak menjadi masalah kerana susunan waris-waris takhta telah sedia ada. Sistem turun temurun itu kini dikanunkan oleh Perlembagaan, baik di Johor mahu pun di lapan buah negeri beraja yang lain. Apa yang menjadi persamaan antara negeri-negeri itu ialah di sana ada sebuah majlis yang mempunyai peranan dan kuasa melantik atau mengesahkan raja yang baru.

Sistem beraja atau monarki mempunyai kelebihan dan kekuatan tertentu berbanding dengan sistem republik. Salah satu daripada kelebihan-kelebihan itu ialah betapa ia boleh terus wujud tanpa henti melalui sistem pewarisan (hereditary). Meskipun sistem atau ciri ini tidak demokratik ia mempunyai kelebihan daripada segi ketentuan dan kestabilan; maksudnya apabila raja yang ada itu mangkat, meninggalkan takhta atau hilang kelayakan menjadi raja seorang raja yang baru boleh terus diangkat. Dan ini boleh dilakukan bila-bila masa kerana waris atau waris-waris yang ada boleh terus dimasyhurkan sebagai raja yang baru. Dengan cara ini raja atau sistem beraja, sebagai tonggak dan simbol negara, kekal dan berterusan meskipun raja mangkat. Selain itu oleh kerana waris-waris ini mempunyai hubungan keluarga dan pertalian darah maka sistem itu pada hakikatnya diteruskan oleh orang yang sama.

Sistem pewarisan – meskipun diejek sebagai feudal dan anti-demokrasi - memberi ruang bagi proses persiapan dan latihan. Apa yang dimaksudkan dengan latihan dan persiapan di sini ialah bahawa waris atau waris yang ada itu telah dibiasakan melakukan tugas-tugas yang dijalankan oleh raja. Ini berlaku apabila raja yang ada itu sibuk atau tidak dapat melakukan tugas-tugas berkenaan. Sebagai bakal raja, waris atau waris-waris tadi tidak perlu membuat kerja lain: mereka tidak perlu bekerja atau berniaga untuk mendapatkan nafkah. Mungkin apa yang disediakan oleh negara tidak memadai. Tetapi ini selalunya berlaku waris-waris itu memilih kehidupan yang boros atau pun mereka menghabiskan masa dengan berfoya-foya dan membuang masa.

Dan itulah sebenarnya yang menyebabkan rakyat dan pembayar cukai tidak nampak kebaikan dan kelebihan sistem beraja. Pada mereka sistem beraja hanyalah sebahagian daripada sistem yang korup dan membebankan. Dan jika ini tidak ditangani lama kelamaan ia akan bertambah dan akhirnya rakyat akan menuntut supaya sistem berkenaan dihapuskan. Dalam keadaan seperti itu tidak ada undang-undang atau tentera yang boleh mempertahankan sistem berkenaan. Fenomena itu cukup jelas dalam revolusi yang membawa kepada pemansuhan sistem beraja di Iran pada 1979.

Kebelakangan ini kita melihat beberapa konflik takhta di negara kita. Yang terbaru berlaku di Kelantan. Sebelum itu kita menyaksikan apa yang berlaku di Negeri Sembilan apabila Yang di-Pertuan Besar Almarhum Tuanku Ja’afar mangkat pada hujung 2008. pada 1996 Mahkamah Tinggi menolak saman bekas sultan, Tengku Ali. Saya dimaklumkan bahawa konflik – atau persoalan - takhta juga berlaku di beberapa buah negeri lain. Ini semua boleh melarat ke peringkat persekutuan – yakni Yang di-Pertuan Agong – jika tidak dibendung. Seorang raja yang dipersoalkan kedudukannya akan menyebabkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong – yang dipilih oleh raja-raja – turut dipertikaikan.

Pada saya itu semua tidak sepatutnya berlaku. Bagaimanapun oleh kerana soal pewarisan ini mempunyai aspek-aspek yang di luar undang-undang maka konflik tadi sukar untuk dielakkan. Di sisi undang-undang apa yang berlaku itu sebenarnya boleh dielakkan jika ketetapan yang ada di dalam Perlembagaan dipatuhi. Dan ketetapan ini melebihi hanya sekadar peruntukan undang-undang. Jika pihak yang berkenaan faham peranan dan nilai sistem beraja itu sendiri saya yakin mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang membawa kepada konflik terbuka.

Tetapi apabila takhta dilihat sebagai sumber mendapatkan pengaruh dan kekayaan maka timbullah konflik. Dan apabila sistem pewarisan tadi dimanipulasi maka hilanglah kekuatan yang saya sebutkan tadi. Waris-waris akan sibuk mengatur strategi mempertahankan kedudukan, bukan lagi bekerja dan menjalani latihan. Mereka tak ubah ahli-ahli politik yang sentiasa sibuk siang dan malam. Dalam keadaan seperti itu mereka tidak akan punya masa untuk mendalami agama yang menjadi salah satu fungsi utama raja-raja. Atau memahami sistem Demokrasi Berparlimen yang raja-raja turut menjadi pemainnya.

Politik dan konflik itulah yang membawa masuk British ke negeri-negeri Melayu. Perebutan takhta adalah antara sebab yang menyebabkan Raja-Raja Melayu terpaksa tunduk kepada British bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874. Ketika berhadapan dengan krisis Perlembagaan 1993 pentadbiran Mahathir menyerang Sultan Kelantan dan kroni-kroni mereka menabalkan seorang kerabat sebagai sultan. Saya tahu bahawa mereka tidak semestinya benar tetapi apa yang penting ialah bahawa di sana ada ruang untuk mereka mempermainkan istana untuk kepentingan mereka. Akhir-akhir ini pun nampaknya ia terus berlaku.

Memang tidak semua berpunca dari konflik takhta. Setengahnya berpunca daripada kekaburan pihak istana sendiri yang menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu boleh masuk atas nama agama dan kepentingan bangsa; slogan-slogan yang kebetulan selari dengan sebab-sebab mengapa institusi beraja dikekalkan oleh Perlembagaan.

Bagaimana cara kita hendak memperbaiki keadaan? Saya fikir Perlembagaan telah menyediakan prasarana. Tetapi ini tidak semestinya melalui jalan ke mahkamah kerana undang-undang telah begitu jelas menyatakan bahawa mahkamah bukan jalan penyelesaian.

Apa yang saya maksudkan dengan Perlembagaan ini ialah tentang perlunya rakyat mengetahui pemerincian sistem pewarisan khususnya dan kedudukan Raja-Raja umumnya. Sekiranya kefahaman ini ada maka tidak timbul soal bahawa itu itu adalah hak eksklusif istana yang tidak harus dicampuri oleh rakyat biasa. Sebagai institusi negara yang dibiayai oleh rakyat sistem beraja bertanggungjawab kepada rakyat. Ini bermakna perjalanan institusi itu harus terbuka dan telus. Jika ini dapat diwujudkan saya fikir kita tidak akan melihat konflik lagi. Ini kerana mereka yang tidak layak akan secara automatis malu untuk ke depan dan cuba merebut apa yang bukan hak mereka.

No comments:

Post a Comment