Thursday, 11 October 2012

akhlak


AKHLAQ SESEORANG ITU, itulah harga dirinya di sisi Allah dan di sisi manusia. Baik akhlaqnya, baiklah pandangan Allah kepadanya dan pandangan manusia kepadanya. Jahat akhlaqnya, buruklah pandangan Allah dan pandangan manusia kepadanya. Oleh sebab itu, nabi-nabi adalah terdiri daripada orang-orang yang terbaik akhlaqnya. Kepada Nabi Muhammad s.a.w Allah memuji, ‘Innakala ‘ala khuluqin ‘azim’. Dan nabi ditegur kerana akhlaq dengan firman Allah ‘'Abasa watawalla. Anja ahul a’ma.’

Naik turun para wali dalam tingkatan-tingkatan darjatnya, diukur daripada akhlaq. Oleh sebab itu sekiranya anda ingin meningkat lebih tinggi, maka perbaikilah akhlaqmu. Berapa banyak orang-orang berilmu menjadi hina kerana buruk akhlaqnya, umat arab yang hina-dina itu berubah jadi mulia kerana berubah akhlaqnya. Dan mereka dihina semula setelah kembali ke akhlaq yang buruk. Oleh itu, sekiranya anda ingin melihat bangsamu, bangsa Melayu jadi mulia, baikilah akhlaqnya. Sekiranya anda hendak memuliakan umat Islam, maka perbaikilah akhlaq mereka.

Cita-citamu ialah hendak membawa umat Islam, ‘Yu’la wala yu’la alaih’. Cita-cita ini tidak akan tercapai tanpa merubah akhlaq. Jangan biarkan akhlaq mereka di tahap sekarang ini, tapi usahakan supaya meningkat dengan bermacam-macam latihan, bermacam-macam tarbiah, bukan hanya pelajaran tetapi dengan praktikal.

Akar umbi segala-galanya ialah ilmu dan iman. Dengan bermodalkan ilmu dan iman, akhlaq dibentuk, pembentukan akhlaq harus bermula dari kecil lagi. Ibu-ibu hendaklah melatih anak-anak cara mengambil makanan, cara duduk, cara bercakap, cara menghormati orang. Dan mengeji sikap-sikap buruk. Apabila anak-anak telah pandai berfikir dan bertaraf mumaiyiz, dia hendaklah dimasukkan ke sekolah yang guru-gurunya berakhlaq mulia, berpendirian tegas, berdisiplin, anak-anak akan mudah meniru akhlaq guru.

Apabila ia remaja, carilah untuknya sahabat-sahabat yang berakhlaq mulia. Di zaman remaja, anak-anak muda lebih suka meniru akhlaq sahabat-sahabatnya. Dia baru belajar kenal akan kelaku-kelaku insan di tengah masyarakat. Ia lebih banyak belajar dengan mata, maksudnya apa yang dilihat adalah lebih berkesan kepada dirinya daripada ilmu-ilmu yang dipelajari di madrasah-madrasah di sekolah-sekolah. Setelah berlalu zaman belasan tahun, barulah terlepas daripada rebut taufan remaja yang mana telah banyak anak muda jadi korban oleh ribut ini. Sekiranya mereka melalui zaman remaja dengan selamat, insyallah zaman dewasanya akan selamat. Ashabul Kahfi dipuji Allah, ‘Innahum fityatun amanu birobbihim wazidnahum huda’. Iman mereka ditambah Allah kerana berjuang menyelamatkan diri di zaman ribut taufan melanda remaja.

No comments:

Post a Comment