Thursday 18 October 2012

pembentukakn durbar

Pembentukan Durbar
Pada 1 Julai 1896, pihak British membentuk Negeri - Negeri Melayu Bersekutu dan menetapkan dengan serta - merta bahawa suatu mesyuarat antara Raja-Raja Melayu dengan pihak British hendaklah diadakan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Negeri-Negeri Tanah Melayu. Pihak British menamakan mesyuarat ini sebagai Durbar. Nama ini timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja) Durbar juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja Negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tali persahabatan antara Raja - Raja dengan pihak British.
Durbar yang pertama dijadual diadakan pada penghujung tahun 1896 tetapi terpaksa ditunda kerana Sultan Abdul Samad (Selangor) jatuh gering dan pada akhirnya mesyuarat diadakan di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897. Mesyuarat tersebut berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan.
Pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri - Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri - Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri - Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak diwakili kerana Residennya Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.
Kuala Kangsar dipilih sebagai tempat mesyuarat Durbar yang pertama atas keyakinan pihak British terhadap Sultan Idris. Perhubungan yang baik antara Sultan Idris dengan pihak British ini terhenti pada tahun 1916, berikutan kemangkatan Sultan Idris. Sebelum ini, pendapat Baginda memang selalu diminta oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dijadikan sebagai Raison d'etre bagi pembentukan pelbagai polisi.
Mesyuarat Durbar yang kedua diadakan pada Julai 1903 di Kuala Lumpur, Ibu Negeri Persekutuan. Gabenor Negeri-Negeri Selat pada masa itu ialah Sir Frank Swettenham yang juga merupakan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Berikut adalah ringkasan yang dibuat oleh Sir Frank Swettenhem mengenai kedua-dua mesyuarat tersebut. Mengenai mesyuarat Durbar yang pertama, beliau menulis dalam laporan rasmi beliau:
Sekiranya dilihat dari pelbagai sudut, mesyuarat ini boleh dikatakan suatu kejayaan dan kini sukar untuk meramalkan kepentingan semasa dan masa hadapan mesyuarat antara Raja - Raja Melayu ini. Mesyuarat yang diadakan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan dalam sejarah Tanah Melayu. Rasa saya, belum pernah kita mendengar seorang Raja sesebuah negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke negeri lain, tetapi kejayaan mengumpulkan kesemua Sultan dari Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan di satu tempat pertemuan merupakan sesuatu kejayaan besar yang mungkin dianggap mustahil.
Pertimbangan ahli Majlis amat menarik dan berguna dan tidak dapat dinafikan bahawa ada pada ketikanya sebarang keputusan sudah pasti tidak akan tercapai sekiranya pertemuan antara Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan penasihat mereka yang bertanggungjawab tidak diadakan. Segala perbincangan dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu dan saya pasti, sekiranya perlu diadakan tafsiran, maka mesyuarat yang diadakan sebegini tidak mungkin akan menemui kejayaan. Sultan dan pembesar negeri membincangkan hal yang diminati oleh mereka, tanpa teragak-agak dan kesukaran, dan juga hal berkenaan dengan Agama Islam, adat resam Melayu dan juga persoalan yang menyentuh hak orang Melayu, segala pengalaman dan pengetahuan mengenai hal-hal ini amatlah sukar untuk diperoleh daripada sumber-sumber lain kecuali pada mesyuarat sebegini.
Tentang mesyuarat Durbar kedua, beliau menulis:
Sekali lagi pertimbangan mesyuarat ini, selepas diadakan perbincangan, membuahkan beberapa keputusan yang penting yang mempunyai kaitan yang besar dengan penduduk Melayu. Mesyuarat kali ini penting kerana Raja-Raja dari Negeri-Negeri sebelah Barat didatangkan ke Kuala Lumpur dengan kereta api manakala Sultan Pahang dan pembesar negerinya menggunakan jalan laut, dan juga kerana ucapan yang disampaikan oleh Sultan Perak pada penutup mesyuarat tersebut. Baginda menceritakan dengan jelasnya tentang kemasukan pihak British di Negeri-Negeri Tanah Melayu dan juga kebaikan yang diperolehi oleh orang Melayu daripada pihak British yang memperkenalkan pentadbiran mereka. Baginda juga bercerita dengan terus terang tentang keraguan dan perasaan tidak percaya baginda dan rakyat terhadap orang putih dan bagaimana mereka mengubah fikiran lama-kelamaannya.
Sungguhpun pada keseluruhannya mesyuarat ini telah meningkatkan perasaan muhibah antara ahli-ahlinya, namun ia tidak memberi kesan dari segi pentadbiran. Mesyuarat tersebut hanya bertujuan sebagai majlis penasihat semata-mata. Perkara yang dibincangkan terhad dan hanya merupakan salah satu agenda dalam atur cara yang merangkumi penangkapan ikan, sukan air, teater amatur, perkelahan di kawasan air terjun, pertunjukkan bunga api dan juga bentuk hiburan lain. Walaupun kepentingan mesyuarat Durbar ini ditegaskan oleh Swettenhem, namun jarak antara mesyuarat pertama dengan yang kedua adalah enam tahun kerana Swettenhem berpendapat bahawa mesyuarat sebegini tidak wajar diadakan pada setiap tahun.
Mesyuarat Durbar yang kedua lebih bermakna. Walaupun Sultan Idris memuji usaha pihak British pada akhir mesyuarat itu, baginda sebenarnya meluahkan perasaan tidak puas hati semasa mesyuarat berlangsung. Baginda menggesa agar lebih banyak orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan agar mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Baginda juga membantah kecenderungan terhadap penggabungan. Baginda tidak menyenangi akan perkara persekutuan dan memetik peribahasa Melayu yang menyebut tidak perlu ada dua nakhoda dalam sebuah kapal; oleh sebab itu, mustahil bagi empat orang Raja-Raja Melayu memerintah sebuah negara.
Baginda juga mengingatkan pihak British bahawa Perjanjian Pangkor memperuntukkan bahawa Residen - Jeneral hanya boleh bertindak sebagai penasihat, dan bahawa urusan setiap negeri itu haruslah ditadbir oleh pegawai dari negeri berkenaan dan bahawa kerajaan sesebuah negeri harus kekal sebagai satu entiti yang berlainan. Tetapi pihak British tidak begitu mengendahkan masalah yang diajukan oleh Sultan Idris. Rancangan untuk menyerapkan orang Melayu ke dalam perkhidmatan awam hanya dilaksanakan pada tahun 1910, tetapi tindakan ini bukanlah hasil daripada mesyuarat Durbar. Pada tahun 1927 dasar pengagihan kuasa pusat diisytiharkan, tetapi pelaksanaan dasar ini tertangguh sehingga pertengahan tahun 1930-an.
Selain itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan juga mengajukan satu usul yang amat penting iaitu agar bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi Persekutuan, bukannya bahasa Inggeris. Ini lebih sesuai memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan secara meluas, baik oleh rakyat jelata mahupun mereka yang berdarah raja: "penggunaannya secara lisan dan dalam dokumen rasmi akan membawa kebaikan dan kesejahteraan penduduk."
W.H. Treacher (Residen-Jeneral) pada masa itu membangkang dengan lembut. Menurutnya, bahasa Inggeris merupakan bahasa perkhidmatan awam, bahasa kebanyakan penduduk bukan Melayu, bahasa India British yang berdekatan, bahasa ahli perniagaan tempatan, dan juga di Eropah dan Amerika. Pada akhirnya keputusan dicapai yang berpihak kepada penggunaan bahasa Inggeris.
Pada tahun-tahun yang berikutnya, pihak British mengambil langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan persekutuan dengan menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909. Penubuhan majlis ini dicadangkan oleh pengganti Swettenham, iaitu Sir John Anderson yang merupakan Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Turut menganggotai Majlis Mesyuarat Persekutuan tersebut ialah keempat-empat Raja Melayu pada masa itu. Namun demikian majlis itu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Keadaan ini merupakan usaha untuk menegaskan kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif Persekutuan tersebut, sedangkan sejak tahun 1896, jawatan itu disandang oleh Residen-Jeneral.
Disebabkan penglibatan Raja-Raja Melayu dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan, Mesuarat Durbar tidak lagi diadakan sehingga tahun 1927, apabila majlis itu disusun semula dan Raja-Raja Melayu menarik diri daripada menganggotai majlis tersebut.

1 comment: