Monday, 8 October 2012

kerajaan berdaulat

KEAGUNGAN RAJA DAN NEGARA

Konsep beraja merupakan konsep memperjelaskan peranan serta kuasa raja di dalam sesebuah Negara.  Raja merupakan kuasa tertinggi dalam sesebuah negara atau payung masyarakat. Sistem negara beraja memperlihatkan raja atau sultan memiliki hak mutlak kepada rakyat jelata dan negara. Hak raja tidak dipersoalkan. Rakyat yang ingkar pada zaman tersebut (zaman feudal) dianggap derhaka. Raja terletak di tampuk yang teratas sekali dalam struktur atau susun lapis masyarakat Melayu lama. Justeru itu raja atau sultan dilukiskan dengan pelbagai sifat yang unggul iaitu: memiliki kedaulatan, memiliki kuasa luar biasa. kedudukan tinggi dan kukuh. Sifat-sifat inilah yang mewarnakan institusi sosial ketika dan pada zaman tersebut. Ini terbukti dalam kehidupan masyarakat Melayu lama melalui adat istiadat serta peraturan seperti adat mengadap raja, adat membuat rumah. adat pertabalan raja dan sebagainya.

Konsep Waad        
Dalam Sejarah Melayu, institusi beraja ini diwarnai dan dilandasi dengan konsep waad. Perjanjian Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun adalah teras kepada pembentukan dan kewujudan konsep beraja. Waad ini juga menyatakan konsep raja serta rakyat dengan lebih jelas. Di dalam waad itu menjelaskan raja tidak dibenarkan dilwo serta dicela dan tidak boleh dikenakan hukuman tanpa berlandaskan hukum syarak. Di dalam waad antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun itu, secara tidak langsung menjelaskan tentang kuasa yang ada pada raja atau sultan iaitu raja akan tetap menuntut ketaatan rakyat di dalam apa jua keadaan. Ini kerana dalam waad ini dengan jelas menetapkan bahawa golongan rakyat dikehendaki taat setia dan patuh kepada raja, walaupun raja bersikap zalim dan kejam. Ini secara tidak langsung mewujudkan suatu konsep lain iaitu konsep "daulat". "tulah” serta konsep "derhaka". Konsep daulat, tulah, dan derhaka merupakan aspek panting yang mendasari konsep negeri beraja.

Derhaka    
Pelanggaran kepada sebarang perintah raja, tidak taat setia serta ingkar kepada segala perintah diraja boleh dianggap derhaka. Dalam teks sastera sejarah iaitu Sejarah Melayu, penderhakaan ada dilakukan oleh golongan pembesar-pembesar dan rakyat jelata. Penderhakaan yang dilakukan oleh pembesar-pembesar atau rakyat jelata lazimnya akan diikuti dengan tulah atau akibat yang buruk (pembalasan). Dalam Sejarah Melayu ada menyebut kisah penderhakaan terhadap raja oleh rakyat jelata. Peristiwa penderhakaan pertama dilakukan oleh Sang Rajuna Tapa yang berpunca dari Raja Iskandar Syah, raja Singapura yang terakhir termakan fitnah gundik raja yang lain. Raja Iskandar Syah menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa apabila anak perempuan Sang Rajuna Tapa dihukum  sula Penghulu Bendahari, Sang Rajuna Tapa tidak berpuas hati lalu meminta pertolongan Bentara Majapahit agar menyerang Singapura sehingga menyebabkan Singapura jatuh ke tangan Majapahit. Akhirnya Sang Rajuna Tapa telah terkena tulah di mana rumahnya roboh. kerengkiangnya pun tumbang, beras pun habis menjadi tanah, dan dirinya serta isterinya menjadi batu. Melalui peristiwa ini jelas bahawa rakyat tidak boleh menderhaka kepada rajanya.

Penderhakaan yang kedua dilakukan oleh Hang Kasturi.  Beliau begitu marah kepada sultan dan orang-orang yang membuat fitnah sehingga menyebabkan Hang Tuah dijatuhi hukuman bunuh oleh sultan. Perjuangan Hang Kasturi tidak ke mana apabila  beliau akhirnya terbunuh di tangan sahabatnya. Hang Tuah. Jelaslah kepada kita bahawa menderhaka  kepada raja akan menerima tulah dan akan menemui kegagalan.
Kedaulatan
Jesteru itu tidak hairanlah kedaulatan raja. khususnya raja Melaka dikatakan berasal dari Raja IskandarZulkarnain dari negeri Makaduniah dan berbangsa Rom. Ketinggian raja Melaka itu sering kali diperlihatkan sama ada dari kacva mata masyarakat Melayu lama itu sendiri atau masyarakat luar. Misalnya kisah penyakit kedal yang dihadapi oleh Maharaja China, akibat daripada sikap angkuh dan sombong raja China yang menyuruh Sultan Melaka mengadap dan menyembahnya. Perbuatan Ini telah menyebabkan raja China mengidap penyakit kedal.  Penyakit kedal itu hanya sembuh apabila raja China minum air basuh kaki raja Melaka. Situasi secara retorik memperlihatkan bahawa Sultan Mansur Syah mempunyai ketinggian martabat. Maka dapat dinyatakan bahawa sultan atau raja dikatakan mulia serta unggul apabila mempunyai sifat-sifat tersebut.

Dapatlah dibuat kesimpulan bahawa raja merupakan teras kepada kerajaan. Jatuh atau runtuh dan bangunnya sesebuah Negara kota terletak kepada raja. Kemakmuran serta kemajuan terletak di atas bahu raja. Sesungguhnya raja yang adil dapat melahirkan rakyat yang taat serta pembesar yang bertanggungjawab. Raja yang bersikap zalim dan kejam akan menyebabkan rakyat menderhaka serta berpecah belah. Pernyataan raja merupakan payung negara, dapat dilihat dengan jelas ketika Peringgi menyerang negeri Melaka:

Maka kata Seri Nara Diraja, "Hendak ke mana Tuanku berdiri di sini?'
Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Kita hendak berperang dengan Peringgi kerana istiadat raja-raja itu, negeri alah rajanya mati”

No comments:

Post a Comment