Alhamdulillah
Panglima baru sahaja tiba di rumah dari lawatan ke Bagan Datoh Perak.
Program sehari bersama Menteri Pertahanan dan juga Naib Presiden Umno di
sana yang disertai sekumpulan bloggers dan facebookers sangat bermakna
kepada diri Panglima. Banyak perkara telah diperolehi dan banyak
'rahsia' telah dibuka oleh Allah. Antaranya cerita Beting Beras Basah.
Kunjungan kami ke sana dibantu oleh Pak Ayob seorang warga tempatan yang
menerangkan sejarah tempat berkenaan dengan mendalam. Jarak rumah
ibubapa DS Zahid Hamidi dengan Beting Beras Basah mengambil masa 10
minit sahaja menggunakan jalan darat.
Memandangkan
jam kini sudah 2.55 pagi dan badan pun dah penat sangat maka Insya
Allah artikel seterusnya tentang program hari ini akan menyusul esok
pagi. Terlalu banyak perkara ingin dikongsi bersama. Tetapi berikan saya
sedikit masa sebelum ia disiarkan di sini untuk tatapan anda semua.
Sementara itu, anda bolehlah membaca kisah Beting Beras Basah di Bagan
Datoh ini seperti mana yang diterbitkan di bawah.
Terima
kasih kepada DS Zahid Hamidi dan pegawai khas beliau En Zamri yang sudi
menjemput kami pengendali media baru untuk mengenali lebih dekat
kehidupan sebalik tabir beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh.
Peluang ini rezeki terpijak memandangkan khabarnya ramai blogger
Semenanjung kini berada di Sarawak tidak dapat turut serta kali ini.
Jemputan ini sangat dihargai Panglima kerana bukan semua dapat atau
diundang untuk bersama Menteri Kanan Kabinet Malaysia DS Zahid Hamidi
dari pagi hingga malam. Bayangkan 13 program bertemu rakyat berbagai
kaum berjaya dihabiskan sejak 9 pagi hingga 9 malam bertemu segenap
lapisan masyarakat.
Beting
Beras Basah adalah sebuah tempat yang terletak di muara Sungai Perak
berhampiran dengan pekan Bagan Datoh, Perak. Terdapat dua cara untuk
sampai ke Beting Beras Basah iaitu dengan melalui jalan darat dan jalan
laut. Dari Teluk Intan, jika melalui jalan raya jaraknya ialah sejauh 45
km menuju ke Pekan Bagan Datoh. Setelah sampai di pekan tersebut,
pengangkutan seterusnya ialah dengan menaiki bot atau sampan untuk ke
sana atau melalui Kampung Sg Balai dengan mengikut jalan darat yang
mempunyai jambatan.
Selain
melalui Kuala Sungai Perak, Beting Beras Basah juga boleh dilawati
melalui jalan pintas iaitu dari Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh,
dengan menempuh jalan tar kecil sejauh enam kilometer yang hanya boleh
dilalui dengan motor dan kenderaan kecil sahaja. Satu lagi cara ialah
dengan meredah jalan kebun kelapa sawit dari pekan kecil Rungkup. Dari
situ, kenderaan perlu ditinggalkan dan terpaksa berjalan kaki meredah
paya bakau sejauh hampir setengah kilometer.
Sejarah
Kesultanan Perak bermula pada awal abad ke 15 iaitu pada tahun 1528
dimana Sultan Perak yang pertama, Paduka Seri Sultan Muzzaffar Shah I
telah ditabalkan di Beting Beras Basah, di kuala Sungai Perak
berhampiran pekan Bagan Datoh. Sebelumnya, dua pembesar Perak iaitu Tun
Saban dan Nakhoda Kassim telah menghadap Sultan Mahmud Shah, Sultan
Melaka yang bersemayam di Kampar untuk memperkenankan seorang puteranya
untuk dijadikan Sultan Perak. Baginda telah memperkenan permintaan
tersebut dan mengarahkan putera keduanya iaitu Raja Muzaffar Shah ke
Perak.
Sewaktu
Bahtera baginda menghampiri di kuala Sungai Perak dan sampai ke kawasan
Beting Beras Basah, bahtera baginda telah dipukul ombak yang besar dan
terdampar secara tiba-tiba diatas satu beting ditengah lautan tersebut.
Baginda telah mengarahkan supaya dibuangkan ke laut barang-barang yang
berat, namun laut tetap bergelora. Lalu baginda pun berseru :
"Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka"
Sultan
Muzzaffar lantas mengambil mahkota baginda lalu membuangnya ke dalam
laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora itu tenang kembali seperti
biasa. Bahtera baginda dapat belayar semula seperti sediakala. Serentak
dengan itu, Tun Saban dan pengikutnya melaungkan "DAULAT TUANKU" dan
baginda Sultan Muzzaffar Shah pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang
pertama di Beting Beras Basah. Disebabkan peristiwa tersebut, baginda
telah mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan
ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda.
Sejak
itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan datang ke
Beting Beras Basah ini untuk istiadat pertabalan pusaka dan bersiram
tabal dan beberapa upacara lain yang akan disempurnakan oleh Pawang
Diraja. Selain Sultan, Raja Perempuan juga harus melakukan upacara yang
sama. Kali terakhir upacara tabal raja ialah sewaktu pertabalan Sultan
Azlan Shah dan Raja Perempuan Bainun pada penghujung tahun 1985. Menurut
cerita orang-orang tua di Bagan Datoh, sewaktu Almarhum Sultan Idris
hendak ditabalkan menjadi Sultan Perak ke 33, dalam tahun 1963, baginda
telah menyusur menggunakan sampan kecil hingga sampai di tapak tempat
Sultan Muzaffar Shah mendarat pada 1528.
No comments:
Post a Comment